"Dan, orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang yang berhijrah ke negeri mereka, dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang sudah diberi kepada orang yang berhijrah itu dan mereka juga mengutamakan orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan sangat-sangat berhajat. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi tabiat bakhilnya, maka merekalah orang yang berjaya". (Surah al-Hasyr :9)
Pada 15 HB NOVEMBER 2012 ini, umat Islam menyambut kedatangan Tahun Baru Hijrah 1434 yang lebih dikenali dikalangan masyarakat kita sebagai awal Muharram. Begitu cepat masa berlalu meninggalkan kita. Pantasnya masa beredar sebenarnya satu bandingan mudah bahawa begitu juga cepat umur kita meningkat. Semakin hari kita menjadi semakin tua. Bila kita rasakan setiap hari umur kita bertambah sebenarnya ia memberi peringatan secara simbolik bahawa kita semakin hari semakin hampir dengan hari-hari kematian. Beruntunglah orang-orang mukmin yang sentiasa mengingati mati kerana hanya orang yang bijaksana sahaja yang selalu mengingati mati.
“Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Kemudian hanyalah kepada Kami kamu dikembalikan.” ( Al-‘Ankabut :57)
Rasulullah S.A.W bersabda : “Perbanyakkanlah mengingati pemutus kelazatan dunia (mati) kerana tidaklah seseorang yang dalam kesempitan itu mengingatinya (mati) melainkan ia akan melapangkannya, dan tidaklah seseorang yang dalam keadaan lapang itu mengingatinya melainkan ia akan menyempitkannya”. [Diriwayatkan oleh al-Bazzar dan al-Tabarani dalam al-Awsath. Berkata al-Haithami : Isnadnya hasan].
Islam sebagai agama yang syumul merangkumi segenap kehidupan dunia dan akhirat. Namun umat Islam tidak menyambut kedatangan tahun baru Hijrah seperti kebanyakkan manusia lain menyambut kedatangan tahun baru Masehi dengan penuh sambutan kegilaan. Umat Islam sepatutnya menyambut kedatangan tahun baru Hijrah dengan penuh rasa kesyukuran dan keinsafan bahawa kita masih diberi peluang untuk hidup dimuka bumi Allah ini. Oleh itu tahun baru Hijrah merupakan titik tolak untuk umat Islam merenung dan bermuhasabah tentang sejauhmanakah persediaan yang sudah kita bekalkan untuk berjumpa dengan AllahTa’ala nanti.
Awal Muharam menjadi titik tolak bagi kita melakukan penghijrahan hati, minda dan mengubah tabiat buruk kepada acuan hidup yang diredhai oleh Allah Ta’ala. Jika selama ini kita begitu jauh daripada Allah, maka inilah titik permulaan untuk kita mendekati Allah. Kita tidak perlu melakukan perubahan yang drastik, cukuplah sekadar kita mengambil langkah demi langkah untuk berubah dan meninggalkan segala keburukkan serta kemungkaran . Yang paling penting perubahan diri ini kita lakukan secara konsisten dan berterusan. Di sinilah terletaknya kekuatan iman dan kecekalan hati
Dari Syaddaad bin Aus dari Nabi Muhammad s.a.w bersabda : Orang yang cerdik ialah orang yang bermuhasabah diri dan ia beramal untuk hari-hari selepas mati Orang yang lemah ialah mereka mengikut hawa nafsunya dan ia berangan-angan keatas Allah"
Daripada Abu Hurairah r.a., beliau berkata; Rasulullah s.a.w. bersabda; “Antara keelokan keislaman seseorang ialah dia meninggalkan segala perkara yang tidak berguna kepadanya. (riwayat at-Tarmizi dan lain-lain..Hadith Hasan)
Marilah kita bersama-sama menanam tekad dan azam agar bersungguh berhijrah menuju jalan keredhaan Allah dan bersungguh -sungguh meninggalkan segala kemungkaran dan kemaksiatan.
nizam
0 comments:
Post a Comment