Sunday, September 30, 2012

SENTUH HATIMU DENGAN FIRMANNYA



Adakah hati kita akan tersentuh setiap kali kita membaca ayat suci al-Quran? Paling tidak, adakah hati kita  benar-benar tersentuh setiap kali kita melafazkan ayat-ayat dari surah Al- Fatihah setiap kali kita menunaikan solat?
“ Dengan nama Allah yang Maha Pengasih, Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah, Tuhan seluruh alam. Yang Maha Pengasih , Maha Penyayang. Pemilik hari pembalasan. Hanya kepada Engkaulah kami menyembah dan hanya kepada Engkaulah kami mohon pertolongan. Tunjukilah kami jalan yang lurus. (yaitu) jalan orang-orang yang telah Engkau beri nikmat kepadanya; bukan (jalan) mereka yang dimurkai, dan bukan ( pula jalan) mereka yang sesat.” [ Al- Fatihah : 1-7]
Adakah ketika membaca tujuh ayat ini, hati kita benar-benar menghayatinya sepenuh hati? Adakah ketika membaca ayat pertama itu, kita benar-benar merasakan bahawa Allah itu Maha Pengasih, Maha Penyayang? Adakah ketika membaca ayat kedua, kita benar-benar memuji dan merasakan kebesaran Allah s.w.t yang memiliki seluruh alam? Adakah kita bersungguh-sungguh memohon agar Allah s.w.t tunjukkan kita jalan yang lurus? Adakah kita bersungguh-sungguh memuji Allah ketika membaca ayat-ayat ini? Adakah kita bersungguh-sungguh membesarkan Allah setiap kali kita membaca surah ini? Adakan kita benar-benar merendahkan hati kita saat kita mengakui hanya Allah tempat kita mohon pertolongan? Tepuk dada, tanyalah iman!
Jika kita benar-benar menghayati ayat-ayat suci al-Quran ini, pasti hati kita akan sarat dengan pelbagai perasaan. Sedih, gembira, takut, bersyukur dan macam-macam lagi. Sebab itu jika kita benar-benar menghayati firman-firman Allah s.w.t ini, kita mampu mengalirkan air mata. Air mata takut kepada Allah s.w.t. Air mata gembira mengenangkan kasih sayang Allah s.w.t. Air mata bersyukur kerana banyak nikmat Allah selama ini kita tidak lihat. Dan pasti kita lihat banyaknya peringatan-peringatan yang Allah berikan dalam kitab suci al-Quran ini.
“ Dan sungguh, dalam al-Quran ini telah Kami ( jelaskan) berulang-ulang (peringatan), agar mereka selalu ingat. Tetapi (peringatan) itu hanya menambah mereka lari ( dari kebenaran)” [ Al-Isra’ : 41]
Tetapi dewasa ini, mengapa saban hari semakin banyak kemungkaran berlaku di atas dunia ini. Mengapa semakin ramai yang berani melakukan zina? Mengapa semakin ramai anak-anak derhaka pada ibu bapa? Mengapa anak-anak muda semakin berani minum arak yang jelas larangannya dalam al-Quran? Mengapa ramai lagi yang menyokong pergaulan bebas? Apa sudah jadi? Adakah al-Quran semakin dilupakan, atau al-Quran tidak dihayati? Atau adakah al-Quran hanya dibaca dibibir tanpa kita sentuh hati kita dengan maksud-maksudnya.
Wahai sahabat, sedihnya rasa hati memikirkan semakin bertambah-tambah maksiat yang berlaku sekarang. Jika Rasulllah masih ada sekarang, pasti baginda sedih melihat umat baginda begini. Umat yang diingati walau tiba saat ajal menjemput. Apakah tidak layak untuk kita curi masa kita untuk mengingat kembali kasih sayang Rasulllah kepada kita? Apakah tidak layak isi dunia ini kita lupakan seketika untuk kita renungi peringatan Allah s.w.t dalam kalamNya ini?  Adakah terlalu banyak sangat isi dunia yang kita kejar sehingga kita tidak sempat tadabur firman-firman Allah s.w.t ini?
Mengapa masih ramai lelaki yang mahu menjadi wanita? Dan mengapa masih ramai wanita yang mahu jadi lelaki? Mengapa semakin galak umat Islam melakukan hubungan dengan kaum sejenis? Adakah mereka tidak tahu tentang azab Allah terhadap kaum Lut suatu ketika dahulu?
“ Maka ketika keputusan Kami datang, Kami menjungkirbalikkan (balikkan) negeri kaum Lut, dan Kami hujani mereka bertubi-tubi dengan batu dari tanah yang terbakar.” [ Surah Hud : 82]
Mengapa masih ramai yang kufur nikmat sedangkan telah diceritakan bagaimana berakhirnya kehidupan manusia bernama Karun kerana sifat bangga diri menguasai diri tatkala diberi kemewahan oleh Allah s.w.t.
“ Maka Kami benamkan dia ( Karun) bersama rumahnya ke dalam bumi. Maka tidak ada baginya satu golongan pun yang akan menolongnya selain Allah, dan dia tidak termasuk orang-orang yang dapat membela diri.” [ Al-Qasas : 81]
Banyak kan soalan dalam artikel kali ini? Siapa nak menjawab? Tidak perlu ada yang menjawab kerana soalan ini saya tujukan bukan untuk kita mencari siapa yang bersalah dan siapa yang patut disalahkan. Yang cuba saya sampaikan adalah betapa ramainya lagi umat Islam yang tidak sedar tentang azab-azab Allah s.w.t yang akan menimpa manusia yang melakukan kemungkaran. Anak-anak derhaka di luar sana, orang- orang yang melakukan zina di luar sana, maknyah-maknyah diluar sana, mereka mungkin belum dapat menghayati peringatan-peringatan Allah dalam al-Quran ini dan disini terlihat tugas orang-orang yang lebih kesedarannya tentang al-Quran.
“ Eiii aku tak nak jadi macam dia ni.”
“ Eii ape lah mak nyah ni fikir sampai sanggup tukar jantina.”
“ Nauzibillah. Tak nak lah aku jadi jahat macam dia.”
Berhenti mengeji mereka! Mereka mungkin perlu tarbiyah dari orang yang lebih kesedarannya. Bagi yang rasa mereka bukan dalam golongan-golongan begini, anda adalah orang yang punya ilmu agama. Anda adalah orang yang diberi hidayah oleh Allah untuk tidak melakukan perbuatan keji begitu dan anda adalah orangnya untuk sama-sama berusaha membawa mereka dekat dengan Allah s.w.t. Kerana itu dakwah itu wajib untuk semua umat Islam. Bukan hanya wajib untuk yang berserban, bukan hanya wajib untuk yang bertudung labuh. Ia wajib untuk kita selagi kita merasa kita adalah umat Islam.
Sentuh hatimu dengan firman-Nya agar kamu mengetahui betapa istimewanya manusia yang Allah ciptakan ini. Sentuh hatimu dengan firman-Nya supaya kamu tahu mengapa kamu dihidupkan di muka bumi ini. Sentuh hatimu dengan firman-Nya agar kamu menangis takutkan azab Allah s.w.t. Sentuh hatimu dengan firman-Nya agar kamu tahu mengapa dakwah itu wajib!

0 comments:

 

Kaki Masjid

Suka Masjid